Ku biarkan pena merungkai kata-kata
Ku biarkan minda mentafsir segalanya
Ku biarkan hidayah menyinari hati yang buta
Bismillah walhamdulillah
Kesyukuran yang tidak terhingga kita
panjatkan kepada Allah atas limpahan kurnia yang diberikan olehNya meskipun
kita seringkali mengingkari taubat kita sehari-hari. Juga selawat serta salam
kepada junjungan besar ar Rasul SAW dan para salafussoleh kerana dengan
kesungguhn mereka, kita bisa menikmati nikmat iman dan islam pada detik ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan,
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu,
tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat” (Ibrahim : 14)
Allah menyatakan dalam ayat yang di atas
bahawasanya mereka yang bersyukur, Allah akan menambahkan lagi kurniaan dan
nikmatNya manakala barangsiapa yang ingkar dan berpaling, maka tunggulah saat
mereka diazab dengan pedih di akhirat kelak. Justeru, pembaca yang budiman
nikmat yang terbesar yang seharusnya kita syukuri saat ini adalah Allah memberi
kita peluang sekali lagi untuk bertemu dengan tetamu agung, yang datang pada
kita hanya setahun sekali iaitu Ramadan.
Di dalam entri saya kali ini, saya ingin
berbicara serba sedikit berkisar Ahlan Ramadan, Meraih Amal Muntij. Allah
berfirman yang berbunyi :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa”(al-Baqarah: 183)
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa”(al-Baqarah: 183)
.
Melalui ayat di atas, beberapa persoalan
perlu kita tanya dalam diri :
1) Mengapa
Ramadan didatangkan buat kita ?
2) Apa
hasil/kesan yang kita inginkan setelah melalui Ramadan selama lebih kurang 30
hari?
Apabila kita menghubungkaitkan maksud
firman Allah di dalam surah al-Baqarah : 183 dan dua persoalan di atas, saya
yakin ia akan memberikan impak yang besar dalam kehidupan kita sebagai seorang
muslim/ah. Tidak lain dan tidak bukan Ramadan adalah anugerah yang begitu
berharga buat kita. Namun anugerah ini akan hanya menjadi sia-sia jika kita
melaluinya dengan hati yang buta dan diri penuh dosa.
Pembaca yang budiman, jika kita telusuri
persiapan para salafussoleh dalam menyambut Ramadan, kita akan melihat
persiapan mereka begitu dahsyat, rapi dan penuh dengan kesungguhan. Persiapan
mereka bermula sejurus selepas tamatnya hari Raya Aidilfitri bukan seperti kita
yang dimana esok nak puasa pun masih seolah-olah tidak percaya yang kita akan
berpuasa. Maka, tidak hairanlah persiapan yang luar biasa itu akhirnya kesannya
juga melahirkan dan terbinanya peribadi-peribadi yang luar biasa dimana
natijahnya adalah taqwa dalam diri.
Menarik untuk kita teliti definisi taqwa . Nabi Muhammad SAW
bersabda,
"At Taqwa ha huna," ( taqwa
itu di sini...sambil menunjuk dada beliau ). beliau mengisyaratkan bahawa letak
dari sebuah ketaqwaan adalah di dalam hati.
(HR.Muslim)
Hati di ibaratkan sebagai seorang raja yang menguasai seluruh
anggota badan. Bila raja itu baik maka baiklah semua pengikutnya, begitupun
sebaliknya. Ketaqwaan seseorang bukanlah diukur dari ibadah-ibadah lahiriyyah
yang dilakukan oleh seseorang, akan tetapi lebih kepada bagaimana berhasil ia
memformat hatinya sehingga mampu menampung cahaya keagungan Allah, dan menjauhi
segala jenis penyakit hati yang bersarang dan anak pinak dihatinya.
Dalam Minhajul Abidin, Imam Al Ghazali memberi definisi taqwa
menjadi tiga :
Pertama:
Taqwa yang berarti takut, Allah berfirman :واياي فاتقون (dan hanya kepadakulah
kalian harus takut ).
Kedua:
Taqwa bermakna taat, sesuai dengan firman Allah, “ Ittaqullah Haqqa
tuqaatih”, Ibnu Abbas menafsirkannya dengan “athiulloha haqqa thooatih”.
Ketiga:
Taqwa yang berarti tanziihul qulub 'anidz dzunuub ( membersihkan
hati dari segala dosa).
Dalam suatu riwayat yang sahih disebutkan bahawa Umar bin Khattab
r.a. bertanya kepada sahabat Ubay bin Ka’ab r.a. tentang taqwa. Ubay kemudian
bertanya,
“Bukankah anda pernah melewati jalan yang penuh duri?”
“Ya”, jawab Umar
“Apa yang anda lakukan saat itu?”
“Saya bersiap-siap dan berjalan dengan hati-hati.”
“Itulah taqwa.” kata Ubay bin Ka’ab r.a.
Rentetan dari jawaban Ubay atas pertanyaan Umar, Sayyid Qutb
berkata dalam tafsir Fi Zhilal Al Quran, “Itulah taqwa, kepekaan batin,
kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus selalu waspada dan hati-hati
jangan sampai kena duri jalanan… Jalan kehidupan yang selalu ditaburi duri-duri
godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhawatiran dan keraguan, harapan
semu atas segala sesuatu yang tidak bisa diharapkan. Ketakutan palsu dari
sesuatu yang tidak pantas untuk ditakuti… dan masih banyak duri-duri yang
lainnya.”
Dr. Abdullah Nashih Ulwan menyatakan dalam buku Ruhaniyatud Daiyah,
“Taqwa lahir sebagai konsekuensi logik dari keimanan yang kukuh, keimanan
yang selalu dipupuk dengan muraqabatullah, merasa takut dengan azab Allah serta
berharap atas limpahan karunia dan maghfirahnya.”
Sayyid Qutb juga berkata “Inilah bekal dan persiapan
perjalanan…bekal ketaqwaan yang selalu menggugah hati dan membuatnya selalu
terjaga, waspada,hati-hati serta selalu dalam konsentrasi penuh…Bekal cahaya
yang menerangi liku-liku perjalanan sepanjang mata memandang. Orang yang
bertqwa tidak akan tertipu oleh bayangan semu yang menghalangi pandangannya
yang jelas dan benar…Itulah bekal penghapus segala kesalahan, bekal yang
menjanjikan kedamaian dan ketentraman, bekal yang membawa harapan atas karunia
Allah di saat bekal-bekal lain sudah sirna dan semua amal tak lagi berguna”
Justeru, pernah kah kita tanyakan pada diri
mengapa Allah sangat memfokuskan natijah (kesan) puasa ini adalah untuk beroleh
taqwa? Hebat sangatkah taqwa ini? Apa yang tersirat dan tersurat dari perkataan
taqwa ini?
Taqwa dari sudut bahasanya adalah takut. Takut
itu lahir dari perasaan dalam diri. Secara fitrahnya, manusia yang mempunyai
perasaan takut terhadap sesuatu, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjauhi
perkara tersebut. Misalnya, manusia takut kepada binatang buas seperti harimau,
singa dan lain-lain. Reaksi mereka apabila bertemu dengan binatang buas ini
adalah akan lari dan menjauh sedayanya dari binatang ini untuk menyelamatkan
diri mereka dari ancaman dan kebinasaan. Mengapa terjadinya begitu? Mengapa
mereka lari? Hal ini kerana manusia itu lari dari binatang buas tersebut kerana
ia adalah hasil dari sifat dan perasaan takut dalam diri.
Sidang pembaca yang dikasihi,
Namun, ia sangat berlainan dan jauh bezanya
apabila kita melihat definisi taqwa (takut) dalam ayat 183, surah al Baqarah.
Mengapa saya katakan demikian? Hal ini jika kita perhatikan, perasaan takut
(taqwa) itu akan menjadikan kita makin dekat pada Allah bukan menjauh seperti
rasa takut pada binatang buas tadi. Justeru, bagaimana kita ingin menilai
bahawasanya kita telah pun memperoleh darjat dan natijah (kesan) taqwa dari
puasa yang kita jalani selama 30 hari? Jawapannya adalah dengan kita melihat
bagaimanakah kehidupan kita sejurus selepas tamatnya Ramadan.
Jika kehidupan kita biasa-biasa, sama
bahkan lebih teruk dari sebelum kita bertemu dengan bulan Ramadan, maka amat
kita takuti puasa kita menjadilah mereka yang puasanya hanya beroleh lapar dan
dahaga. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin ada menerangkan tentang
kategori orang yang berpuasa :
1) Puasa Orang
Awam
- Puasa golongan ini tidak lain dan tidak
bukan hanyalah beroleh lapar dan dahaga dimana orang yang bukan muslim juga
boleh melaksanakan puasa seperti golongan awam ini. Puasa mereka hanya
terhindar dari makan dan minum namun pancaindera dan hati mereka langsung tidak
berpuasa
2) Puasa Orang
Khusus
- Puasa golongan ini adalah puasa yang mana
puasa mereka turut beserta puasanya pancaindera mereka. Bukan sekadar puasanya
dari makan dan minum, namun penglihatan dan pendengaran mereka juga turut
berpuasa
3) Puasa Orang
Khususul-Khusus
-
Puasa golongan ini adalah darjat puasa para
Anbiya’, para sahabat dan salafussoleh. Puasa mereka disertakan dengan puasanya
hati mereka
Sidang pembaca sekalian,
Jika diamati, tidak hairanlah para Anbiya’, para sahabat dan salafussoleh beroleh
puasa Khusul-Khusus dimana hati mereka turut berpuasa kerana mereka amat serius
untuk bertemu dengan Ramadan dan tidak hairanlah mengapa kita hanya beroleh
puasa orang awam kerana kita banyak main-main dan langsung tidak mengambil
perhatian terhadap kedatangan Ramadan.
Kita inginkan puasa ini hakikatnya adalah
pembersihan diri secara total dari dosa, ibaratnya kita keluar dari madrasah
tarbiyah Ramadan ini menjadi seperti kain putih yang bersih dan suci. Oleh itu,
pembersihan diri dari dosa itu bukanlah bermula apabila kita masuk pada bulan
Ramadan tapi ia bermula berbulan-bulan sebelumnya lagi. Kita inginkan apabila
tibanya Ramadan ini, kita menyambut dan melaluinya dengan hati yang salim
(sejahtera) bukan hati yang gundah gulana dan masih tidak habis-habis dengan
dunia.
Kita inginkan apabila tibanya Ramadan ini,
kita telah pun berlari dan inilah saatnya kita memberikan ‘batton’ larian kita
pada pelari keempat bukan baru diberikan pada pelari pertama, kedua mahupun
ketiga. Kita inginkan apabila masuk sahaja Ramadan, kita terus melaju dan
memecut dan kondisi kita pada saatnya berada dalam bulan Ramadan adalah pada gear
lima bukan baru nak panas-panaskan enjin.
Begitulah sidang pembaca sekalian, amal
muntij(berkesan) dari datangya Ramadan ini adalah kita memperoleh dua perkara :
1) Sejurus
tamatnya Ramadan, kehidupan kita makin dengan Allah SWT
2) Sejurus
tamatnya Ramadan, kita beroleh maghfirah dan dikembalikan diri kita pada fitrah
yang suci dan bersih
Kita inginkan dari 30 harinya puasa kita
pada bulan Ramadan ini, ia menjadi bekal kita untuk istiqamah dan terus tetap
teguh dengan amal soleh untuk 11 bulan yang seterusnya.
Akhir kalam, saya tutup dengan sedikit
puisi yang direka sendiri untuk tatapan, peringatan dan manfaat bersama.
Ramadan yang ku tunggu-tunggu
Ku selalu menantimu
Kau suluh jiwa dan ragaku
Ramadan ku menunggu
Tenang rasa hati
Pabila engkau muncul lagi
Damainya ku rasakan
Ramadan bulan al-Quran
Bulan penyubur iman
Tuhan telah kurnia
Ramadan nan bahagia
Aku ingin berubah
Hanya bulan ini saja
Tiada selainnya
Mari memanfaatkannya
Semoga tak tersia
12/6/15
5:08 am
Teratak Rumah Ikhwah Aqobah