Saturday, February 28, 2009

SuRaT bUaT dAiE



Assalamualaikum…. Salam seindah aliran sungai buat sahabatku sekalian.Kaifa haluka, kaifa imanuka? Ana doakan antum semua sentiasa dalam rahmat Allah subhanahu wata’ala Insya Allah.Buat sahabat seperjuanganku, Semoga semangatmu untuk berjuang di jalan dakwah ini tidak akan pernah pudar. Ingatlah kita berjuang di atas jalan ini bukanlah sekadar bermain-main dengan angan-angan mahupun impian kita tetapi kita bermain dengan semangat dan berjuang berdasarkan satu landasan iaitu untuk mencapai keredhaan Allah MARDHATILLAH…

Sekiranya engkau terjatuh segeralah bangkit dari jatuhnya mu sebentar tadi . Masihkah kita ingat firman Allah:

وسارعو الى مغفرة من ربكم وجنة عرضها السموت والارض اعدت للمتقين"
Mafhumnya; bersegaralah kamumeminta keampunan dari tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertaqwa.

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena. Begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai'e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa...




Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi'. Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah...

Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan...

"Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina
Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati Ke tepi pantai seorang diri
Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan
Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira
Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya"

Begitulah kisah seorang Nabi diuji Allah begitu sekali…

Wahai Dai'e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da'wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan.
Menyoroti kehidupan Dai'e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:

"Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah:
"Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya"
(Al-Furqan:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata:

"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim"
(Al-Anbiyaa':87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai'e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan…

Inilah Dai'e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan...
Insya Allah semoga langkah kita yang seterusnya diiringi dengan kekuatan jasadi dan ruhi seperti manapara mujahidin palestin yang sedang berjuang habis-habisan bagi menentang musuh Allah YAHUDI LAKNATULLAH.Semoga adik berdiri sebagai seorang khalifatullah yag melata di bumi ini untuk menyebarkan dakwah Ilallah……… Insya Allah!!!





ada sedikt sajak untuk tatapan kita semua

Lemahnya diri ini
Baru sikit Allah menguji
Sudah rebah tak mampu berdiri
Lemahnya diri ini
Baru saja bayu dunia menyapa pipi
Sudah melayang tak sedarkan diri

Lemahnya diri ini
Baru sekelumit keindahan wajah diberi
Sudah mula lupa diri
Lemahnya diri ini
Baru sikit kejayaan diberi
Sudah lupa siapa yang beri

Lemahnya diri ini
Baru sikit buat kebaikan
Riak dan ujub bersorak riang
Lemahnya diri ini
Bila suatu kebajikan dimulakan
Tak berdaya nak teruskan
Tiada istiqamah dalam amalan
Lemahnya diri ini
Baru diuji dengan seorang lelaki/wanita
Iman sudah bisu menyepi
Nafsu pula mengawal diri

Lemahnya diri ini
Jalan dakwah kata nak tempuhi
Baru saja melangkah kaki
Beberapa tapak sudah berhenti
Lemahnya diri ini
Nikmat anugerah Ilahi
Biar sudah tak terhitung lagi
Tapi masih lupa mensyukuri
Lemahnya diri ini
Asyik lagha dengan urusan duniawi
Tak pernah khuatir amalan diterima
Atau dipaling

Lemahnya diri ini
Bagaimana nak sahut seruan jihad?
Baru sikit dilukai
Sudah menangis meratapi

Lemahnya diri ini
Lupa matlamat lupa syari’at
Terkejar-kejar yang tak pasti
Leka dibuai syaitan terlaknat

Lemahnya diri ini
Asyik ketawa tak kering gusi
Lupa menangis mengingat MATI…



Ya Allah… Lemahnya diri ini.. Kami pohon kekuatan daripadaMu Tuntunilah langkah kami Biar hanya mampu merangkak Itu pasti lebih baik Daripada terus rebah dalam kaku Berikan kami peluang Merentasi jalan yang Engkau redhai Ampunilah kekhilafan semalam Atas kejahilan kami mengenal makna Kasih sayangMu...Ya Rabbal’alamin.

Sunday, February 22, 2009

al- Jihad wa at-Tadhiyyah



4. Jihad

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Jihad:
Jihad adalah satu kefardhuan yang akan terus diwajibkan sehingga hari kiamat. Selain itu jihad juga ialah apa yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w.:
“Orang yang mati tetapi tidak pernah berperang atau tidak pernah berniat untuk berperang dia mati dalam keadaan jahiliyah.”
Tahap pertama jihad ialah mengengkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah perang di jalan Allah. Di antara dua tahap tadi ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam. Dakwah ini tidak akan bererti tanpa jihad. Sehebat mana dan seluas mana dakwah ini sehebat itulah juga jihad yang diperlukan dan sebesar itu jugalah pengorbanan yang diperlukan untuk menyokong dakwah ini. Namun ganjarannya juga besar untuk mereka yang berusaha.
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. (Al-Haj: 78)
Dengan ini barulah anda faham apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan: “Jihad adalah jalan kami.”

5. Berkorban (Tadhiyyah)
]
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Berkorban:
Berkorban ialah menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik. Sesiapa yang tidak mahu berkorban bersama kita dia akan menanggung dosa.
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka. (Al-Taubah: 111)
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu… (Al-Taubah: 24)
Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah.. (Al-Taubah: 120)
Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik. (Al-Fath: 16)
Dengan ini anda memahami apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan:
“Mati di jalan Allah adalah cita-cita utama kami.”

Sunday, February 15, 2009

al-Ikhlas dan al-Amal



2. Ikhlas

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Ikhlas:
Ikhlas ialah saudara muslim itu meniatkan setiap kata, tindakan dan jihad yang dilakukan hanya untuk Allah, mencari keredaan dan ganjaranNya tanpa mengharapkan harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Ini bermakna dia merupakan pejuang fikrah dan akidah bukan memperjuangkan matlamat dan kepentingan peribadi.
Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan. (Al-An‘am: 162-163)
Dengan ini saudara muslim akan memahami maksud apa yang sering dilaungkannya:
“Allah matlamat kami” dan “Allah Maha besar dan segala puji bagi Allah”.

3. Amal (Kerja)
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Amal:
Amal ialah hasil yang diperolehi daripada ilmu dan ikhlas.
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. (Al-Taubah: 105)
Peringkat kerja yang perlu dilakukan oleh saudara yang jujur ialah:

1. Memperbaiki diri sendiri sehingga dia memiliki tubuh yang kuat, akhlak yang mantap, berpendidikan, mampu berdikari, akidah yang sejahtera, ibadah yang betul, bermujahadah melawan diri, menjaga masa, segala urusannya tersusun dan berguna kepada orang lain. Semua ini wajib bagi saudara semua.

2. Pembinaan keluarga muslim. Mendidik ahli keluarganya supaya menghormati gagasannya. Memelihara setiap adab Islam dalam setiap sudut hidup berumahtangga. Teliti ketika memilih isteri. Didik isteri tentang hak dan tanggungjawabnya. Didik anak dan pengasuh dengan baik dan besarkan mereka berdasarkan prinsip Islam. Ini juga wajib bagi saudara semua.

3. Membimbing masyarakat dengan cara mengembangkan aspek yang baik dalam masyarakat. Menghapuskan segala amalan yang tidak baik di samping menggalakkan amalan yang baik. Menyuruh masyarakat melakukan perkara yang baik. Bertindak segera melakukan kebajikan. Menagih sokongan masyarakat supaya berpihak kepada gagasan Islam. Sentiasa berusaha menyemai budaya masyarakat menurut budaya Islam. Semua ini wajib dilakukan oleh saudara semua dan oleh jamaah sebagai badan pelaksana.

4. Membebaskan tanahair dengan cara mengusir kuasa asing (bukan Islam) daripada menguasai aspek politik atau ekonomi atau moral.

5. Memulihkan kerajaan supaya benar-benar bercirikan Islam. Dengan itu kerajaan ini akan menjalankan peranannya sebagai khadam kepada rakyat atau orang upahan rakyat dan bekerja demi kepentingan rakyat. Kerajaan Islam ialah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam dan melaksanakan segala fardhu Islam dengan tidak berterus terang melanggar perintah Islam. Kerajaan ini sebagai pelaksana hukum dan ajaran Islam.
Namun tidak salah jika kerajaan ini meminta bantuan orang bukan Islam ketika keadaan terdesak tetapi bukan untuk melantik mereka sebagai pemimpin. Kerajaan ini tidak perlu terikat kepada bentuk atau jenis tertentu. Apa yang penting ia mesti bertepatan dengan dasar pemerintahan Islam.
Sifat-sifat kerajaan ini ialah peka dengan tanggungjawab, prihatin dengan nasib rakyat, bertindak adil kepada semua, menjaga harta negara dan berjimat ketika menggunakannya.
Tanggungjawab kerajaan ini ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, memberikan pendidikan kepada rakyat, membina kekuatan negara, menjaga mutu kesihatan, memelihara kepentingan rakyat, membangunkan sumber negara, menjaga keselamatan sumber negara, memantapkan akhlak rakyat dan mengembangkan dakwah.
Hak kerajaan (setelah menunaikan tanggungjawabnya) ini ialah rakyat perlu memberikan kesetiaan dan ketaatan. Kerajaan ini perlu dibantu dengan nyawa dan harta.
Jika kerajaan ini cuai, ia perlu dinasihat dan ditunjuk ajar. Jika tidak ia perlu dipecat dan disingkir. Tidak dibenarkan mentaati makhluk untuk menderhakai Allah.

6. Mewujudkan kembali sebuah negara untuk umat Islam dengan cara memerdekakan semua tanahair umat Islam, menghidupkan semula sejarah kegemilangan mereka, merapatkan jurang budaya mereka dan menyatukan suara mereka sehinggalah muncul kembali khilafah Islam yang telah lama lenyap dan lahir semula perpaduan umat Islam yang dicitakan.

7. Menjadi tonggak dunia (ustaziatul ‘alam) dengan cara menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia.
Sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. (Al-Anfal: 39)
Sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya. (Al-Taubah: 32)
Empat peringkat yang terakhir ini wajib dilaksanakan oleh sebuah jamaah dan oleh setiap saudara dengan kedudukan mereka sebagai anggota jamaah. Betapa beratnya tanggungjawab ini dan betapa besarnya peranan ini. Manusia akan melihat semua ini suatu khayalan namun saudara muslim melihatnya sebagai suatu kenyataan. Kita tidak akan berputus asa dan tetap menaruh harapan yang tinggi kepada Allah.
Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf: 21)

Sunday, February 8, 2009

al- Fahmu

1. Faham

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Faham:
Faham yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya berlandaskan Islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami faham, dalam skop dua puluh usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini:

1. Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.

2. Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk memahami hukum-hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab tanpa mengada-adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami melalui ahli hadis yang dipercayai.

3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke dalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama.

4. Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang ma’thur.

5. Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut mempunyai pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan umum) boleh dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat ini mungkin berubah mengikut keadaan, budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat ialah pengabdian (ta’abbud) tanpa perlu melihat kepada maksud. Sementara dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab, hikmah dan maksud.

6. Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka.Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan..

7. Setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu’ hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.

8. Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah untuk membuat kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang dipertikaikan selagimana ia dilakukan dalam suasana penuh kemesraan dan saling bekerjasama untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub.

9. Setiap masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini termasuklah tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji maksud ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang mengenai kemuliaan seorang sahabat berbanding sahabat yang lain dan persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap sahabat ada kelebihan mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala bergantung kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan.

10. Mengenali, mengesakan dan mensucikan Allah Taala adalah akidah Islam yang paling suci. Semua ayat dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat Allah dan apa sahaja yang berkenaan dengannya kita yakini sepertimana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan mengikut kehendak kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan diri kita dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.
Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami. (Aali Imran: 7)

11. Setiap amalan bid‘ah yang dimasukkan ke dalam agama Allah dan tidak berasas (diamalkan oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada mereka menokok tambah atau mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi serta dihapuskan dengan cara yang terbaik dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk.

12. Bid‘ah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam dengan mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari sudut fikah. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak salah untuk mencari kebenaran dengan berpandukan dalil dan bukti.

13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah:
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (Yunus: 63)
Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun perlu diyakini mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain.

14. Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan oleh sunnah. Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun mereka atau menyeru nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari dekat atau jauh atau bernazar untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau menyelimutkan kubur atau memasang lampu di kubur atau menyentuh dan mengucup kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain daripada nama Allah atau apa sahaja bid‘ah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang perlu diperangi. Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul perkara yang lebih buruk.

15. Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.

16. Adat sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah apa yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan dilaksanakan menurut erti istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan istilah perlu dielak dalam seluruh aspek dunia dan agama. Perkara yang diambil kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh nama tersebut.

17. Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah tuntutan syarak walaupun wujud perbezaan pada sejauhmana ia dituntut.

18. Islam membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang baik dan bermanfaat.
“Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.”

19. Ada pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan syarak tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak dipastikan oleh akal atau oleh syarak, ia perlu disesuaikan supaya bertepatan dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat dipastikan oleh syarak dan oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat membuktikan kebenarannya atau sebaliknya.

20. Kita tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu -sama ada mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika dia mengeluarkan ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang menjadi asas agama atau tidak mempercayai kenyataan al-Quran yang jelas, atau mentafsir al-Quran menurut cara yang tidak bertepatan sama sekali dengan gaya bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh diandaikan kecuali sebagai kufur.
Setelah seorang muslim memahami agamanya berpandukan asas ini barulah dia memahami apa yang sering dilaungkannya:
“Al-Quran adalah perlembagaan kami dan rasul adalah ikutan kami.”

Monday, February 2, 2009

SuKaN sMiH o9

Biru unbeatable
Biru is the best
Among the best
Biru is the best

Bersukan untuk rapatkan ukhuwah

Biru pasti juara tahun depan




batchsebelas smih 09


BATCHSEBELAS RUMAH BIRU


BERSAMA KAPTEN RUMAH BIRU ( TENGAH )


ATLIT RUMAH BIRU




PERBARISAN RUMAH BIRU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...