Tuesday, June 16, 2015

RaMaDaN : MaRi MeRaiH AmaL MuNTiJ !

Ku biarkan kalam berbicara
Ku biarkan pena merungkai kata-kata
Ku biarkan minda mentafsir segalanya
Ku biarkan hidayah menyinari hati yang buta



Bismillah walhamdulillah

Kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan kepada Allah atas limpahan kurnia yang diberikan olehNya meskipun kita seringkali mengingkari taubat kita sehari-hari. Juga selawat serta salam kepada junjungan besar ar Rasul SAW dan para salafussoleh kerana dengan kesungguhn mereka, kita bisa menikmati nikmat iman dan islam pada detik ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat” (Ibrahim : 14)

Allah menyatakan dalam ayat yang di atas bahawasanya mereka yang bersyukur, Allah akan menambahkan lagi kurniaan dan nikmatNya manakala barangsiapa yang ingkar dan berpaling, maka tunggulah saat mereka diazab dengan pedih di akhirat kelak. Justeru, pembaca yang budiman nikmat yang terbesar yang seharusnya kita syukuri saat ini adalah Allah memberi kita peluang sekali lagi untuk bertemu dengan tetamu agung, yang datang pada kita hanya setahun sekali iaitu Ramadan.
Di dalam entri saya kali ini, saya ingin berbicara serba sedikit berkisar Ahlan Ramadan, Meraih Amal Muntij. Allah berfirman yang berbunyi :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa”(al-Baqarah: 183)
.

Melalui ayat di atas, beberapa persoalan perlu kita tanya dalam diri :
  1)      Mengapa Ramadan didatangkan buat kita ?
  2)      Apa hasil/kesan yang kita inginkan setelah melalui Ramadan selama lebih kurang 30 hari?

Apabila kita menghubungkaitkan maksud firman Allah di dalam surah al-Baqarah : 183 dan dua persoalan di atas, saya yakin ia akan memberikan impak yang besar dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim/ah. Tidak lain dan tidak bukan Ramadan adalah anugerah yang begitu berharga buat kita. Namun anugerah ini akan hanya menjadi sia-sia jika kita melaluinya dengan hati yang buta dan diri penuh dosa.

Pembaca yang budiman, jika kita telusuri persiapan para salafussoleh dalam menyambut Ramadan, kita akan melihat persiapan mereka begitu dahsyat, rapi dan penuh dengan kesungguhan. Persiapan mereka bermula sejurus selepas tamatnya hari Raya Aidilfitri bukan seperti kita yang dimana esok nak puasa pun masih seolah-olah tidak percaya yang kita akan berpuasa. Maka, tidak hairanlah persiapan yang luar biasa itu akhirnya kesannya juga melahirkan dan terbinanya peribadi-peribadi yang luar biasa dimana natijahnya adalah taqwa dalam diri.


Menarik untuk kita teliti definisi taqwa . Nabi Muhammad SAW bersabda,
"At Taqwa ha huna," ( taqwa itu di sini...sambil menunjuk dada beliau ). beliau mengisyaratkan bahawa letak dari sebuah ketaqwaan adalah di dalam hati.
(HR.Muslim)

Hati di ibaratkan sebagai seorang raja yang menguasai seluruh anggota badan. Bila raja itu baik maka  baiklah semua pengikutnya, begitupun sebaliknya. Ketaqwaan seseorang bukanlah diukur dari ibadah-ibadah lahiriyyah yang dilakukan oleh seseorang, akan tetapi lebih kepada bagaimana berhasil ia memformat hatinya sehingga mampu menampung cahaya keagungan Allah, dan menjauhi segala jenis penyakit hati  yang bersarang dan anak pinak dihatinya.

Dalam Minhajul Abidin, Imam Al Ghazali memberi definisi taqwa menjadi tiga :

Pertama:
Taqwa yang berarti takut, Allah berfirman :واياي فاتقون (dan hanya kepadakulah kalian harus takut ).

Kedua:
Taqwa bermakna taat, sesuai dengan firman Allah, “ Ittaqullah Haqqa tuqaatih”, Ibnu Abbas menafsirkannya dengan  “athiulloha haqqa thooatih”.

Ketiga:
Taqwa yang berarti tanziihul qulub 'anidz dzunuub ( membersihkan hati dari segala dosa).

Dalam suatu riwayat yang sahih disebutkan bahawa Umar bin Khattab r.a. bertanya kepada sahabat Ubay bin Ka’ab r.a. tentang taqwa. Ubay kemudian bertanya,
“Bukankah anda pernah melewati jalan yang penuh duri?”
“Ya”, jawab Umar
“Apa yang anda lakukan saat itu?”
“Saya bersiap-siap dan berjalan dengan hati-hati.”
“Itulah taqwa.” kata Ubay bin Ka’ab r.a.

Rentetan dari jawaban Ubay atas pertanyaan Umar, Sayyid Qutb berkata dalam tafsir Fi Zhilal Al Quran, “Itulah taqwa, kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus selalu waspada dan hati-hati jangan sampai kena duri jalanan… Jalan kehidupan yang selalu ditaburi duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhawatiran dan keraguan, harapan semu atas segala sesuatu yang tidak bisa diharapkan. Ketakutan palsu dari sesuatu yang tidak pantas untuk ditakuti… dan masih banyak duri-duri yang lainnya.”

Dr. Abdullah Nashih Ulwan menyatakan dalam buku Ruhaniyatud Daiyah, “Taqwa lahir sebagai konsekuensi logik dari keimanan yang kukuh, keimanan yang selalu dipupuk dengan muraqabatullah, merasa takut dengan azab Allah serta berharap atas limpahan karunia dan maghfirahnya.

Sayyid Qutb juga berkata “Inilah bekal dan persiapan perjalanan…bekal ketaqwaan yang selalu menggugah hati dan membuatnya selalu terjaga, waspada,hati-hati serta selalu dalam konsentrasi penuh…Bekal cahaya yang menerangi liku-liku perjalanan sepanjang mata memandang. Orang yang bertqwa tidak akan tertipu oleh bayangan semu yang menghalangi pandangannya yang jelas dan benar…Itulah bekal penghapus segala kesalahan, bekal yang menjanjikan kedamaian dan ketentraman, bekal yang membawa harapan atas karunia Allah di saat bekal-bekal lain sudah sirna dan semua amal tak lagi berguna”

Justeru, pernah kah kita tanyakan pada diri mengapa Allah sangat memfokuskan natijah (kesan) puasa ini adalah untuk beroleh taqwa? Hebat sangatkah taqwa ini? Apa yang tersirat dan tersurat dari perkataan taqwa ini?

Taqwa dari sudut bahasanya adalah takut. Takut itu lahir dari perasaan dalam diri. Secara fitrahnya, manusia yang mempunyai perasaan takut terhadap sesuatu, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjauhi perkara tersebut. Misalnya, manusia takut kepada binatang buas seperti harimau, singa dan lain-lain. Reaksi mereka apabila bertemu dengan binatang buas ini adalah akan lari dan menjauh sedayanya dari binatang ini untuk menyelamatkan diri mereka dari ancaman dan kebinasaan. Mengapa terjadinya begitu? Mengapa mereka lari? Hal ini kerana manusia itu lari dari binatang buas tersebut kerana ia adalah hasil dari sifat dan perasaan takut dalam diri.

Sidang pembaca yang dikasihi,

Namun, ia sangat berlainan dan jauh bezanya apabila kita melihat definisi taqwa (takut) dalam ayat 183, surah al Baqarah. Mengapa saya katakan demikian? Hal ini jika kita perhatikan, perasaan takut (taqwa) itu akan menjadikan kita makin dekat pada Allah bukan menjauh seperti rasa takut pada binatang buas tadi. Justeru, bagaimana kita ingin menilai bahawasanya kita telah pun memperoleh darjat dan natijah (kesan) taqwa dari puasa yang kita jalani selama 30 hari? Jawapannya adalah dengan kita melihat bagaimanakah kehidupan kita sejurus selepas tamatnya Ramadan.

Jika kehidupan kita biasa-biasa, sama bahkan lebih teruk dari sebelum kita bertemu dengan bulan Ramadan, maka amat kita takuti puasa kita menjadilah mereka yang puasanya hanya beroleh lapar dan dahaga. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin ada menerangkan tentang kategori orang yang berpuasa :

  1)      Puasa Orang Awam
-       Puasa golongan ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah beroleh lapar dan dahaga dimana orang yang bukan muslim juga boleh melaksanakan puasa seperti golongan awam ini. Puasa mereka hanya terhindar dari makan dan minum namun pancaindera dan hati mereka langsung tidak berpuasa

  2)      Puasa Orang Khusus
-   Puasa golongan ini adalah puasa yang mana puasa mereka turut beserta puasanya pancaindera mereka. Bukan sekadar puasanya dari makan dan minum, namun penglihatan dan pendengaran mereka juga turut berpuasa


  3)      Puasa Orang Khususul-Khusus
-          Puasa golongan ini adalah darjat puasa para Anbiya’, para sahabat dan salafussoleh. Puasa mereka disertakan dengan puasanya hati mereka

Sidang pembaca sekalian,

Jika diamati, tidak hairanlah para  Anbiya’, para sahabat dan salafussoleh beroleh puasa Khusul-Khusus dimana hati mereka turut berpuasa kerana mereka amat serius untuk bertemu dengan Ramadan dan tidak hairanlah mengapa kita hanya beroleh puasa orang awam kerana kita banyak main-main dan langsung tidak mengambil perhatian terhadap kedatangan Ramadan.

Kita inginkan puasa ini hakikatnya adalah pembersihan diri secara total dari dosa, ibaratnya kita keluar dari madrasah tarbiyah Ramadan ini menjadi seperti kain putih yang bersih dan suci. Oleh itu, pembersihan diri dari dosa itu bukanlah bermula apabila kita masuk pada bulan Ramadan tapi ia bermula berbulan-bulan sebelumnya lagi. Kita inginkan apabila tibanya Ramadan ini, kita menyambut dan melaluinya dengan hati yang salim (sejahtera) bukan hati yang gundah gulana dan masih tidak habis-habis dengan dunia.

Kita inginkan apabila tibanya Ramadan ini, kita telah pun berlari dan inilah saatnya kita memberikan ‘batton’ larian kita pada pelari keempat bukan baru diberikan pada pelari pertama, kedua mahupun ketiga. Kita inginkan apabila masuk sahaja Ramadan, kita terus melaju dan memecut dan kondisi kita pada saatnya berada dalam bulan Ramadan adalah pada gear lima bukan baru nak panas-panaskan enjin.

Begitulah sidang pembaca sekalian, amal muntij(berkesan) dari datangya Ramadan ini adalah kita memperoleh dua perkara :

  1)      Sejurus tamatnya Ramadan, kehidupan kita makin dengan Allah SWT
  2)      Sejurus tamatnya Ramadan, kita beroleh maghfirah dan dikembalikan diri kita pada fitrah yang suci dan bersih

Kita inginkan dari 30 harinya puasa kita pada bulan Ramadan ini, ia menjadi bekal kita untuk istiqamah dan terus tetap teguh dengan amal soleh untuk 11 bulan yang seterusnya.

Akhir kalam, saya tutup dengan sedikit puisi yang direka sendiri untuk tatapan, peringatan dan manfaat bersama. 



Ramadan yang ku tunggu-tunggu
Ku selalu menantimu
Kau suluh jiwa dan ragaku
Ramadan ku menunggu

Tenang rasa hati
Pabila engkau muncul lagi


Damainya ku rasakan
Ramadan bulan al-Quran
Bulan penyubur iman

Tuhan telah kurnia
Ramadan nan bahagia
Aku ingin berubah

Hanya bulan ini saja
Tiada selainnya
Mari memanfaatkannya
Semoga tak tersia

12/6/15
5:08 am

Teratak Rumah Ikhwah Aqobah

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...